|
|
Institut Perguruan Persekutuan Pulau Pinang
[sunting] Sejarah dan Latar BelakangPada tahun 1951 sebuah bungalow terbiar di atas sebidang tanah ladang seluas 73 ekar kepunyaan taukeh Cheah Chen Eok di atas Bukit Coombe, Gelugor telah dibeli oleh kerajaan British dengan harga $88,000 dengan tujuan untuk membina pusat latihan guru. Walau bagaimanapun, hanya pada 1954 kerja-kerja pembinaan di tapak tersebut mula dijalankan. Pada 5 Disember 1952, setelah setahun Kirby Teachers’ Training College beroperasi dengan jayanya Mr. JW Dunnill, DSO ditemuduga oleh pihak Ibu pejabat Kolonial untuk menjawat jawatan pengetua MTTC Penang pada tahun 1955. Mr. Dunnill telah bersetuju dan beliau telah dihantar ke Kota Bharu Training College pada penghujung 1953 sebagai Timbalan Pengetua sementara menunggu MTTC Penang dibuka. Selama 11 bulan Mr. Dunnill berada di Kota Bharu Teachers’ Training College, beliau telah memperolehi banyak ilmu serta pengalaman tentang penuntut Malaya dan latar belakang penduduk tempatan. Pada 4 Julai 1955 Mr. Dunnill telah dilantik menjadi pengetua MTTC Penang yang dibina di atas Bukit Coombe dengan peruntukkan sebanyak setengah juta paun daripada Colonial Development and Welfare Fund of Great Britain. Hal ini merupakan detik-detik permulaan sejarah MTTC Penang. Mr. Dunnill telah berpindah ke pejabatnya di Kementerian Pelajaran, Kuala Lumpur dan membuat perancangan untuk organisasi MTTC Penang. Kerja-kerja pembinaan telah bermula dan dijangka siap untuk digunakan mulai awal 1957. Pengambilan pensyarah dari England telah bermula seawal tahun 1956. Mr Dunnill telah pulang ke England untuk proses pengambilan pensyarah pada Mac 1956. Apabila Mr. Dunhill pulang ke England, Mr. G.F Jackson telah dilantik menjadi Timbalan Pengetua dan mengambil alih tugas-tugas perancangan organisasi yang telah ditinggalkan oleh Mr. Dunnill. Mr. Dunnill kembali semula ke Pulau Pinang pada 26 September 1956. Pada keesokan hari, MTTC Penang telah dibuka dengan rasminya di bilik pengawas Sekolah Perempuan St. George. Pada hari berikutnya, mesyuarat pertama staf telah diadakan di sana. Mesyuarat yang bersejarah ini dihadiri oleh JW Dunnill, DSO (Pengetua), GF Jackson (Timbalan Pengetua), MDL Moore (Pensyarah Kanan dalam bidang seni dan kraft), DF Cooke (Pensyarah Kanan dalam Ilmu Pendidikan) dan Lim Cheam Teong (Kerani Besar). Laporan Razak, 1956 yang bermatlamat untuk memberi satu sistem pelajaran yang sama bagi semua penduduk dan pelajaran untuk semua telah mengembangkan program latihan guru untuk sekolah rendah dan sekolah menengah rendah. Di atas desakan ini, Kota Bharu Teachers’ Training College telah dijadikan sebagai pusat latihan guru untuk sekolah rendah dengan kelulusan minima LCE. Justeru, 147 orang pelajar ambilan September 1955 yang tempatkan di Kota Bharu Teachers’ Training College terpaksa dipindahkan ke MTTC Penang untuk meneruskan latihan perguruan tahun kedua. Walau bagaimanapun, tiada kemudahan kelengkapan latihan telah menyebabkan penangguhan kursus tersebut mulai Ogos 1956 hingga Disember 1958. Namun demikian, latihan mengajar telah dirancang dan diadakan untuk kumpulan pelajar ini daripada September 1956 hingga November 1956. Maka dalam tempoh itu, pelajar-pelajar telah ditempatkan di sekolah-sekolah yang berhampiran dengan rumah mereka dan dibayar elaun. Bangunan baru di Bukit Coombe tidak dapat disiapkan pada Januari 1957 dan hanya dapat digunakan pada bulan Mei 1957. Justeru, bangunan sementara terpaksa dicari untuk menempatkan 147 pelajar senior dari Kota Bharu dan 150 pelajar baru yang akan melaporkan diri pada Januari 1957. Akhirnya, kampus sementara yang terletak di bangunan lama yang terbiar di No. 41, Jalan Northam (kini bangunan Old Frees Association). Bangunan ini merupakan tinggalan Taukeh Gan Ghoh Bee dan pernah digunakan oleh British sebagai sekolah latihan tentera. Bangunan lama ini dibersihkan, dicat dan dilakukan kerja-kerja pengubahsuaian dan pembinaan, termasuk pembinaan 19 buah bilik darjah terpaksa dijalankan dengan perbelanjaan sebanyak $80,000. Di suatu kawasan lapang berhampiran pula didirikan pondok kayu untuk menempatkan dapur dan pelajar lelaki. Pelajar perempuan pula ditempatkan dalam dormatari dalam bangunan tersebut. Disember 1956, sebahagian besar pensyarah menghubungi pelajar senior dari Kota Bharu supaya melaporkan diri di MTTC, manakala kakitangan lain sibuk menyiapkan kerja-kerja pembersihan dan menambahbaik infrastruktur MTTC di Jalan Northam supaya dapat digunakan mulai Januari 1957. Sementara itu, atas cadangan pengetua pertama Mr. JW Dunnill, nama Malayan Teachers’ Training College telah diringkaskan kepada Malayan Teachers’ College (MTC), mulai 1 Januari 1957. Pada 19 Januari 1957, senior dari Kota Bharu tiba di Jalan Northam. Pada keesokan hari pula, 150 orang pelajar baru melaporkan diri sana. Pada 21 Januari 1957 pelajar baru diraikan dalam satu majlis tari menari. Walaupun serba kekurangan, warga MTC bekerja dengan gembira dan bersemangat. Kursus yang ditawarkan adalah selama dua tahun. Mereka dilatih sebagai guru am (general purpose teacher). Mereka dikehendaki mengambil kursus Pendidikan, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Setiap pelajar juga dikehendaki memilih salah satu mata pelajaran opsyen berikut : Matematik, Sains, Geografi, Sejarah, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Bahasa Melayu, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Seni Lukis dan Kraf, Sains Rumah Tangga dan Pertukangan Kayu/ Logam. Pelajar juga dikehendaki menjalani latihan mengajar selama 12 minggu dalam tempoh kursus 2 tahun itu. Selepas tamat latihan di MTC, mereka boleh mengajarkan mata pelajaran asas di peringkat sekolah rendah atas dan sekolah menengah rendah, dan boleh mengajarkan mata pelajaran opsyen sehingga ke peringkat sekolah menengah atas. Pada bulan Februari 1957, pengetua MTC telah berpindah ke kuarters baru di Bukit Coombe dan diikuti dengan staf yang lain. Pelajar-pelajar tidak kembali lagi ke Jalan Northam apabila penggal pertama 1957 tamat pada 20 Mach 1957 . Disebaliknya mereka kembali ke kampus baru MTC di Bukit Coombe pada 6 Mei. Oleh kerana kerja-kerja pembinaan bangunan MTC belum selesai sepenuhnya, pengajian mereka terpaksa ditunda sehingga 20 Mei. 20 Mei 1957 merupakan hari bersejarah bagi pelajar-pelajar MTC. Pekerja-pekerja kontrak keluar daripada Bukit Coombe dan pelajar MTC masuk. Malangnya, hanya 2 blok bangunan asrama siap, iaitu blok Ciku dan Amra dan tidak dapat menampung penginapan untuk 274 pelajar. Pelajar-pelajar lelaki dikehendaki tinggal di gymnasium dan juga dalam bilik kuliah. Walau bagaimanapun warga MTC tetap bersemangat tinggi dalam menghadapi kesulitan ini dan penggal kedua berakhir pada 31 Julai 1957. Pelajar-pelajar dari Kota Bharu tamat pengajian dan MTC telah mengeluarkan guru-gurunya buat pertama kali. Pada 14 Mei 1959, iaitu selepas dua tahun berada di Bukit Coombe, Dato’ Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia telah merasmikan pembukaan MTC, Penang. Turut serta dalam upacara perasmian tersebut ialah Encik Mohd. Khir Johari, Menteri Pelajaran, Encik Sardon bin Haji Zubir, Menteri Kerja Raya, Pos dan Telekomunikasi dan Encik Wong Pow Nee, Ketua Menteri Pulau Pinang. [sunting] Falsafah I4PInstitut Perguruan Persekutuan Pulau Pinang berhasrat dan berusaha melahirkan guru BESTARI yang bijaksana, beretika, saintifik, berketrampilan, berakhlak, rasional dan beriltizam, berpaksi kepada nilai-nilai murni dan keagamaan demi agama, bangsa dan negara. [sunting] Misi dan Visi
Berazam dengan penuh kesedaran dan iltizam untuk meningkatkan kualiti pendidikan perguruan.
Untuk menjadi pusat pendidikan Perguruan yang cemerlang bagi melahirkan guru-guru bestari. [sunting] Rujukan |
|||||||||||||||||||